29 November, 2012

Prodigy's Galanite

Semalam telah diadakan Malam Graduasi bagi pelajar-pelajar Tingkatan 5 di Ayer Keroh D'Village, Melaka. Majlis bermula pada pukul 8.30 malam selepas kehadiran Pengetua Kanan SEMESRA dan guru-guru ke dewan jamuan.

Kemudiannya, tibalah pula giliran para pelajar Tingkatan 5 mengambil tempat duduk masing-masing. Selepas ucapan ringkas oleh Pengetua SEMESRA, giliran ketua batch Prodigy pula memberi ucapan. Majlis kemudiannya diteruskan dengan persembahan-persembahan oleh para pelajar Tingkatan 5 sambil tetamu menjamu selera.


Dengan bertemakan Classical & Elegant, para pelajar tampak anggun dan segak sekali. Antara gambar-gambar yang sempat dirakamkan sepanjang majlis tersebut:


Tahniah kepada semua pelajar batch Prodigy kerana berjaya menamatkan sesi persekolahan anda dengan jayanya. Selamat maju jaya diucapkan kepada semua. Diharapkan apabila anda semua kembali ke sekolah pada bulan Mac 2014, ia adalah untuk membawa khabar gembira kepada warga SEMESRA yang lain.

12 November, 2012

Majlis Tautan Kasih Kelab Guru dan Staf SEMESRA

Kelab Guru dan Staf SEMESRA telah menganjurkan Majlis Tautan Kasih di Tanjung Bidara Beach Resort pada 9 November yang lalu.Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada semua guru dan staf yang telah memberi sumbangan dan khidmat bakti kepada sekolah.

Pelbagai acara menarik telah diadakan seperti jamuan makan, persembahan guru-guru dan staf, acara cabutan bertuah dan juga acara petunjukan api dari pihak hotel.


Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah banyak menyumbang samada dari segi tenaga mahupun wang ringgit dalam menjayakan majlis ini. Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga SEMESRA atas khidmat dan sumbangan yang telah diberi kepada sekolah pada tahun 2012. Semoga tahun hadapan SEMESRA akan lebih gemilang dengan gemblengan tenaga semua guru dan staf sokongan, insya Allah.

10 November, 2012

Terima kasih dan Selamat Berkhidmat di Tempat yang Baru

Pada 9 November iaitu hari terakhir persekolahan bagi sesi 2012, telah diadakan satu perhimpunan ringkas sebelum warga SEMESRA balik bercuti. Selain daripada memberi ingatan kepada para pelajar, satu majlis ringkas telah diadakan bagi meraikan 2 orang guru SEMESRA yang akan berkhidmat di tempat yang baru mulai tahun 2013.

Dua orang guru tersebut adalah Encik Arsad (guru Mata Pelajaran Bahasa Melayu) dan juga Encik Haikal (guru Mata Pelajaran Pendidikan Islam). Encik Arsad akan mula berkhidmat di SMK Methodist (ACS), Seremban manakala Encik Haikal pula akan berpindah ke Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya.

Kedua-dua guru ini telah diberi peluang untuk memberikan sepatah dua kata kepada warga SEMESRA sempena hari terakhir mereka berkhidmat di bumi SEMESRA.

 Encik Arsad

Encik Haikal

Terima kasih diucapkan kepada kedua-dua guru ini atas khidmat dan sumbangan yang telah diberikan sepanjang berada di SEMESRA. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas budi dan jasa kalian. Selamat berkhidmat di tempat yang baru dan semoga akan terus cemerlang di tempat yang baru.

06 November, 2012

Semoga Beroleh Kejayaan Cemerlang, Prodigy

Pada 5 November yang lalu, bermulalah perjuangan para pelajar Tingkatan 5 SEMESRA dalam mengharungi peperiksaan SPM. Setelah berbulan-bulan membuat persiapan rapi bagi menghadapi peperiksaan ini, tibalah masanya untuk para pelajar menjawab kertas soalan peperiksaan yang sebenar.

Seluruh warga SEMESRA telah mengiringi para pelajar Tingkatan 5 ini dengan membuat laluan dari bangunan akademik ke Dewan Dato' Haji Azam sebagai tanda sokongan mereka kepada calon-calon peperiksaan SPM 2012 ini.


Didoakan agar para pelajar Tingkatan 5 akan berjaya menjawab kertas peperiksaan dengan baik. Didoakan juga agar mereka dikurniakan dengan kesihatan yang baik dalam menghadapi peperiksaan yang penting ini. 

Seluruh warga SEMESRA mendoakan agar batch Prodigy ini akan beroleh keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan SPM, Amin.